Tuesday, February 15, 2011

untuk kita memperbaiki diri :)

Tudung anda munafik?



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Minggu lepas online sekejap dekat portal agama yang famous sekarang ni, iLuvIslam. Mesti familiar kan? Iyalah, komuniti iLuvIslam ni cukup besar dan berpengaruh di kalangan pelajar uni khususnya. Bukanlah niat nak komen tentang portal ni, bukan. Cuma tiba-tiba terasa nak meluahkan perasaan tentang satu artikel tentang apa ntah, yang pasti artikel ni berkaitan dengan perempuan dan muslimah. Rasanya ramai yang dah tahu bezakan antara perempuan dan muslimah.


Penulis artikel ni ada sentuh tentang pemakaian tudung atau hijab dikalangan wanita zaman sekarang (wanita sebagai merujuk kepada kedua-duanya, perempuan dan muslimah). Dia menyeru agar perempuan-perempuan dekat luar sana memakai tudung dengan mengikut syariat yang betul. Katanya lagi tudung yang sedia ada di pasaran sekarang ialah munafik. Mungkin dia menulis macam tu sebab risau tambah dengan marah dengan fesyen tudung hari ni.

Kita mulakan dengan fesyen tudung yang saya paling ingat sekali, tudung bawal (tudung bawal ikut rujukan saya ialah tudung dari material cotton yang tak ada manik dan sulaman tu). Saya selalu pakai tudung ni zaman sekolah dulu. Saya mengaku jugak yang saya pun kadang-kadang on off je bab-bab tudung zaman sekolah dulu. Tudung spesis ni ada yang nipis, ada yang tebal. Ada yang labuh, ada yang pendek tapi taklah pendek sangat.


Kemudian habis sekolah datang pula fesyen tudung lip-lap yang ada batu-batu kat tepi tu (ntah apa namanya pun tak tahu, pakai rempuh je ni). Saya ada tiga tudung tu sekarang ni. Semuanya kakak yang beli dan masih dipakai sehingga ke hari ini. Tak dinafikan tudung tu sangat popular. Waktu mula-mula saya tengok tudung tu, saya kata “pergh, boleh tahan nipis tudung ni.” Ya, kainnya sangat jarang. Tembus cahaya nampaklah batang leher masing-masing.

Masuk uni datang pulak fesyen selendang. Selendang ni ada macam-macam warna dan corak. Saya pun ada dua, putih dan krim. Jarang dah pakai sebab malas nak lilit. Yang ni memang tembus habis, siap boleh teka dengan tepat warna kulit si pemakainya.


Kemudian datang pulak fesyen tudung pakai sauk tu je. Senang gila nak pakai tudung ni. Tak payah nak beli pin tudung lagi lepas ni. Yang ni, satu family saya pakai. Fesyen yang ni memang in sampai ke hari ni. Permaisuri agong pun pakai tau! Ada macam-macam label sekarang ni, ariani lah, ariana lah.


Yang terbaru (agaknya) selendang yang dekat hujungnya tu ada batu ke apa ntah. Macam key chain pun ya jugak kalau sekali tengok. Yang ni saya tak ada sebab tak selera tengok key chain tu.


Tudung yang tak pernah saya pakai setakat ni ialah tudung keychain tu dengan tudung hijab dalam erti kata yang sebenar. Tidak lupa juga selendang style Dato’ Siti. Yang tu jangan haraplah nak pakai.


Berbalik kepada main point saya ialah tudung yang dikatakan munafik. Pada saya, mungkin penulis ni nak kata tudung yang dijual dekat Jalan TAR atau depan Masjid India tu tak menepati kehendak syariat Islam. Saya tak nafikan fesyen tudung sedia ada tidak memenuhi kriteria yang dituntut oleh Islam. Dari segi materialnya, ia dicipta agar mengikut bentuk leher dan bahagian atas badan si pemakai. Biarlah labuh macam mana sekalipun, masih akan dapat dilihat dengan jelas bentuk dada si pemakai. Betul kan?


Sudahlah materialnya mengikut bentuk tubuh malah dipinkan pula di belakang leher. Lagilah ketara bentuk leher masing-masing. Mungkin inilah antara salah satu sebab mengapa penulis ini mengatakan tudung hari ini kebanyakannya munafik.


Saya tak kisah. Ini negara demokrasi, sesiapa sahaja berhak bersuara meluahkan pendapat masing-masing. Kerana itu jugalah saya menulis kali ini. FREEDOM OF SPEECH.

Saya terfikir semasa penulis ini menulis artikel itu sambil menyatakan istilah tudung munafik, pernahkah dia terfikir bahawa si pemakai tudung hipokrit ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan perempuan yang masih bujang dan sudah berkahwin. Mungkin seorang ibu berkecil hati apabila membaca artikel penulis ini lalu memberi kebebasan kepada anak gadisnya untuk memilih sama ada untuk bertudung atau tidak padahal dia sepatutnya menasihati agar anaknya bertudung. Mungkin seorang remaja rasa tercabar dengan istilah ini lalu menyarung hijab kerana amarahnya, bukan kerana Allah. Mungkin juga seorang anak kecil yang baru belajar tentang apa itu tudung dan berjinak-jinak untuk menutupi kepalanya hilang semangat lalu nekad untuk membogelkan kepalanya seumur hidup kerana tidak mahu digelar munafik. (Saya pula yang terlebih berfikir lepas baca artikel tu)


Bagi saya jika benar dia marah dan sudah muak dengan fesyen tudung hari ini, dia tidak seharusnya menyatakan ia tudung munafik. Perlu diingat, perempuan-perempuan itu (termasuklah saya) bertudung hari ini kerana ingin mengejar cinta dan rahmat Allah. Mungkin usaha kami tidak seberapa namun seperkara yang perlu diteliti ialah niat kami kerana ingin mengejar cinta Allah. Itu salah satu usaha kami. Bertudung dalam erti kata menutup rambut. Walaupun masih terdedah bahagian depan, atas masing-masing. Namun itu juga salah satu bentuk usaha.


Perlu diingat juga, mengubah sesuatu kebiasaan itu bukanlah mudah. Tahap iman yang tinggi dituntut dalam berjuang di jalan Allah. Samalah juga bagi perempuan yang memakai tudung-tudung munafik (merujuk kepada artikel penulis iLuvIslam) ini. Mereka ingin berubah atas nama dan cinta kepada Allah.


Kita tidak berhak menilai sebanyak atau setinggi mana cinta orang lain kepada Yang Esa. Kita seharusnya menilai dan muhasabah diri, ukurlah sebanyak dan setinggi mana pula kasih kita kepada-Nya. Jangan hanya pandai menilai orang lain.


Mungkin juga penulis ini terlupa atau belum pernah terdengar tentang kisah benar yang berlaku di Mekah suatu ketika dahulu. Seorang imam berdakwah kepada seorang lelaki yang malas solat namun rajin bekerja selama lima tahun. Imam ini tinggal di luar Mekah. Dia hanya datang ke Mekah apabila dijemput oleh pembesar Mekah ketika itu. Dia hanya datang setahun sekali sahaja. Dia tidak pernah memaksa lelaki pemalas ini untuk bersolat seperti pendakwah terdahulu. Malah, dia membenarkan lelaki pemalas ini untuk memilih solat apa yang ingin dilakukannya. Lelaki pemalas ini memilih solat Subuh kerana ianya pendek, dua rakaat sahaja. Setelah beberapa ketika, imam ini harus pulang kerana waktunya untuk berada di Mekah sudah tamat.


Imam ini meminta agar lelaki pemalas berjanji kepadanya supaya tidak meninggalkan solat Subuh. Sepanjang ketiadaan imam itu, lelaki pemalas sering ke masjid untuk solat Subuh berjemaah. Namun, hanya Subuh yang dikerjakannya.


Tahun berikutnya imam itu datang lagi ke Mekah. Semasa si lelaki pemalas datang berjumpanya, imam bertanya tentang solat Subuhnya. Imam ada mendengar rungutan orang ramai kerana lelaki pemalas itu hanya solat Subuh sahaja. Kemudian, imam menyuruh lelaki pemalas agar memilih satu lagi waktu solat. Dia memilih Maghrib kerana ia di tengah, tiga rakaat. Seperti biasa imam itu meminta lelaki pemalas untuk tidak meninggalkan Subuh dan Maghrib.


Begitulah tahun berikutnya, dia menunaikan satu persatu solatnya selepas diminta untuk memilih oleh imam itu. Sehinggalah setelah semua solat fardu berjaya dilaksanakan kecuali Isyak. Imam menasihatinya agar menunaikan solat Isyak sebaik masuk waktu. Dia mengikut nasihat imam itu. Imam itu bertanya susahkah menunaikan solat? Dia menjawab tidak kerana perkara yang susah dilakukan apabila sudah kerap kali dilakukan pasti akan menjadi senang.

Begitulah kisahnya. Pengajaran yang ingin dikaitkan dengan tudung ini ialah apabila kita berusaha berubah untuk sesuatu yang baik, pasti Allah akan membantu walaupun jangka masa untuk melakukan perubahan itu sangat panjang. Samalah dengan tudung, mungkin hari ini tudung kita hanya paras setakat menutup satu per tiga dada. Mungkin esok, Allah memberi kita hidayah agar berhijab pula. Lagipun, jika kita berusaha melakukan kebaikan walaupun pada awalnya hati sangat keras untuk berkata tidak, pasti akhirnya hati akan lembut juga. Hati itu juga ciptaan Allah, pasti hati akan menurut perintahnya juga kan?


Kemungkinan yang terakhir singgah di akal saya ialah mungkin penulis artikel itu terlupa ini, apabila kita merangkak untuk mendekatkan diri kepada Allah, Allah berjalan untuk mendapatkan kita. Apabila kita berjalan Dia berlari pula. Dia itu bersifat Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun. Jika itu usaha kita untuk bertaubat, kita ikhlas berusaha memperbaiki diri kerana-Nya, insya Allah kita akan diampunkan. Biarpun keampunan itu lambat kita miliki. Jangan sekali-kali kita berputus asa dalam mengejar cinta-Nya.

Yang penting, kita ikhlas mengejar cinta-Nya kerana hidup dan mati kita juga adalah atas nama cinta-Nya. Wassalam.



taken from : HANANI RAMLI